MENJELANG Ramadan ini, setiap umat Islam perlu insaf dan melihat ke dalam diri sendiri. Cara paling mudah ialah membandingkan diri kita dengan orang lain. Bagi umat Islam di Malaysia, salah satu perbandingan yang boleh dijadikan teladan ialah kedaifan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja.
Buruk cakap, bersalaman dengan masyarakat Islam Kemboja ibarat memegang kertas pasir. Tapak tangan mereka yang keras begitu terasa walaupun seorang imam masjid. Fahamlah, mereka bekerja keras membanting tulang dan melakukan apa saja kerja dengan
kudrat tangan empat kerat untuk menyara hidup keluarga.
Jika sakit, mereka hanya terlantar di rumah dan mengharapkan ubat yang dibeli di kedai biasa, menyembuhkan penyakit mereka. Jika perlu dimasukkan air ke dalam badan pesakit, alat dibekalkan doktor digantung pada tiang atau palang dalam rumah. Kalau badan panas, hanya ais batu diletakkan di atas badan untuk menyejukkan badan. Ini sekelumit pengalaman yang dapat dilihat ketika berkunjung ke kawasan penduduk masyarakat Islam minoriti di negara itu. Namun begitu, mereka tidak memburuk-burukkan kerajaan Kemboja, sebaliknya, mereka bersyukur kerana kerajaan tidak menghalang mereka menjalankan kegiatan agama, cuma wang cari sendiri.
Kemiskinan punca kepada segala-galanya. Walaupun bukan semua terlalu miskin kerana ada juga yang memiliki telefon bimbit, majoriti penduduk Islam Kemboja dalam kumpulan daif. Mereka tidur tanpa tilam dan makan di tempat yang sama bersama anak. Mereka masih menggunakan air sungai yang keruh sebagai bahan minum dan memasak dan tiada bekalan elektrik. Masakan tetap menggunakan kayu yang dicari di hutan.
Jika makan sedap pun sekali sekala terutama bila ada sumbangan dari masyarakat luar yang simpati dengan kedaifan mereka. Mereka sering menerima sumbangan bekalan makanan seperti beras, gula dan minyak masak dari masyarakat luar tetapi berapa lama harus begitu? Untuk sampai di kampung tertentu, terpaksa menggunakan lori atau setidak-tidaknya kenderaan pacuan empat roda.
Jika menaiki kereta biasa, sukar sampai disebabkan berselut sepanjang jalan dan sepanjang tahun. Kenderaan mereka ialah motosikal dan kereta kuda untuk membawa hasil pertanian ke luar kampung. Itu pun terpaksa mencari kawasan kurang berlopak. Disebabkan kampung mereka berhampiran sungai yang menjadi tempat mereka mencari rezeki menangkap ikan, jalan merah di sepanjang kampung, sering banjir. Bila hujan, air bertakung di kawasan lopak yang juga menjadi tempat anak bermain becak. Anak yang berlenggeng, malah telanjang bulat menjadi pemandangan biasa. Anak baru berkhatan ke sana ke mari dalam becak walaupun luka sunat belum sembuh dan bengkak.
Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian.
Ada satu perbezaan ketara masyarakat Islam minoriti di Kemboja dengan masyarakat Islam majoriti di Malaysia. Walaupun masyarakat Islam di Kemboja hidup susah, mereka tetap bersatu. Di negara ini, umat Islamnya berpecah-belah akibat kepentingan politik. Walaupun bertungkus-lumus meneruskan hidup, mereka tahu erti kesyukuran dan nikmat Tuhan. Mereka tidak menganggap hidup mereka tertekan walaupun apa juga dasar ditetapkan kerajaan Kemboja, mereka tetap terkena tempiasnya. Harga minyak pada paras lebih AS$2 (RM6) seliter sekarang, walaupun memang tinggi, tetapi tidak pun menjadi punca rakyatnya mengadakan demonstrasi. Harga tol AS$4 (RM12) bagi satu laluan berikutan pembinaan jambatan merentasi Sungai Mekong, tidak pun menyebabkan rakyat membantah dan berarak di jalan raya.
Bagi mereka yang tidak mampu, mereka mencari jalan lain, tidak ada masalah bagi mereka. Mereka sudah biasa hidup susah dan apa juga masalah yang datang, ia dianggap perkara biasa. Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian. Akibat sikap buruk rakyat daripada kaum majoriti yang membangkang apa saja dilakukan kerajaan menyebabkan rakyat minoriti juga kian berani mempersoalkan dasar kerajaan.
Mereka juga tidak sedikit pun bimbang membangkitkan isu agama, walaupun kerajaan juga membantu mereka dalam banyak urusan, Bagi masyarakat majoriti Islam di Malaysia, ingat, apa yang berlaku di negara masyarakat Islam minoriti juga boleh berlaku di negara ini, tanda-tanda mengenai sudah pun ada. Waktu itu, menangis air mata darah sekali pun, tidak boleh lagi merubah keadaan.
Kesengsaraan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja atau di mana sekali pun, boleh menimbulkan kesedaran kepada umat Islam di dunia ini. Di Kemboja, Walaupun kerajaan tidak melarang kegiatan beragama, tidak membantah pembinaan masjid atau sekolah untuk mengajar agama kepada anak, tetapi dalam keadaan kewangan dan sumber terbatas, tidak banyak kemajuan boleh dilakukan. Ada guru agama, tetapi tidak ada badan yang membayar gaji mereka. Terpaksa guru agama mengajar secara percuma. Jika ada simpati penduduk kampung, dapatlah sumbangan beras secupak dua daripada ibu bapa penduduk yang menghantar anak mereka mengaji agama.
Keadaan hari ini mungkin lebih baik berbanding 30 tahun ketika mereka menghadapi tekanan dan penindasan rejim Pol Pot pada penghujung 1970-an. Bezanya, hari ini nyawa mereka tidak lagi diancam. Ketika Pol-Pot berkuasa mereka menghitung hari menunggu ajal.
Pelaburan masyarakat Islam Kemboja adalah kepada pendidikan anak. Mereka mengharapkan ada di kalangan anak mereka belajar ke tahap yang tinggi hingga ke luar negara dan pulang nanti menjadi penggerak kepada kemajuan keluarga dan bangsa mereka. Di Malaysia, semua orang tidak kira bangsa dan agama mendapat pendidikan sama rata. Itu pun dianggap sebagai tidak adil lagi?
sumber-berita harian
0 komen:
Post a Comment