RSS

<-----Yang Terhangat----->

Irfan Tidak Seromantik Seth


Watak Aaron Aziz Sebagai Irfan Tidak Seromantik Seth


aaron aziz
JAHAT...watak Malek berjaya membantu KL Gangster mencatat kutipan RM11 juta.

ANTARA watak Malek menerusi filem KL Gangster dan drama Nora Elena sebagai Ahmad Seth Tan, memberikan dua dimensi berbeza penampilan Aaron Aziz pada khalayak.

Dalam filem arahan Syamsul Yusof itu, Aaron menghayati
karakter samseng kembali ke pangkal jalan manakala Ahmad Seth lebih kepada lelaki berjiwa romantik yang jatuh cinta pada wanita.

AARON...laris di televisyen dan juga layar perak

BAHAGIA...Aaron bersama Diyana dan tiga anak mereka, Danish Anaqi, Dahlia Arissa, Dwi Ariana.

Biarpun dua watak ini membawa perbezaan, hakikatnya Aaron berjaya menyerlah bakat diri dalam bidang lakonan. Jika Nora Elena disiarkan di TV3 sebelum ini berjaya meraih rating tinggi penonton, begitu juga KL Gangster mencatat kutipan tertinggi dengan RM11 juta.

Kejayaan luar biasa ini mencipta rekod filem Melayu terlaris ketika ini membuktikan filem tempatan masih mempunyai tempat di hati penonton.

Malah, pencapaian KL Gangster juga bukan saja menjadi kebanggaan bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam sebaliknya tidak mustahil mengatakan faktor kejayaan filem ini didukung Aaron yang memberi tarikan penonton ke pawagam.

Aaron berkata, kejayaan KL Gangster turut memberi kejutan pada dirinya yang tidak menyangka filem Melayu masih mempunyai potensi meraih kutipan besar.

“Bagi saya, ini adalah kejayaan keseluruhan dikongsi semua pelakon termasuk kru yang terbabit dalam pembikinan filem ini. Setiap pelakon memberi kekuatan dan tarikan pada filem ini.

“Seperti lakonan Sofi Jikan dalam filem ini, walaupun dia tidak banyak adegan tetapi kehadirannya turut memberi impak kuat pada plot.

“Setiap usaha dilakukan sebenarnya hasil kerjasama berpasukan. Tidak semestinya, pelakon itu perlu menunjukkan lakonan melebihi pelakon lain.

“Bagi saya, semua pelakon sama rata. Kejayaan KL Gangster membuatkan saya bangga dan puas hati kerana saya dapat lihat ada penonton yang menyaksikan filem ini lebih daripada sekali.

“Ini bermakna, penonton berasa berbaloi dengan membeli tiket menyaksikan filem ini. Untuk kejayaan sesebuah filem, untung perkara lain tetapi apa yang penting adalah bekerja dengan jujur,” katanya tidak kisah dengan apa jua watak yang ditawarkan.

Berkongsi pengalaman baru, bapa kepada tiga anak, Danish Anaqi, 7, Dwi Ariana, 5, dan Dahlia Arissa, 1, baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Stanza Cinta arahan Along Kamaluddin disiarkan di TV3 sejak 19 Jun lalu.

Drama sebanyak 13 episod ini menemui penonton setiap Ahad, jam 9 malam. Kali ini Aaron diberi kepercayaan membawa watak Irfan Kamal, lelaki daripada latar belakang keluarga berada yang kemudian jatuh cinta pada pelajar kolej, Amni Sorfina lakonan Nur Fathia.

Katanya, cabaran melakonkan watak ini berbeza dengan watak yang pernah dibawa kerana kali ini, dia berusaha menghayati karakter insan yang lebih mendekati cinta pada agama.

Mengenai kontroversi membabitkan Nur Fathia bersama Along ketika penggambaran drama ini, Aaron menyatakan perkara berkenaan selesai selepas pelakon baru itu mengakui kesilapan sendiri. Sebagai pelakon berpengalaman, dia percaya tekanan suatu perkara lumrah dan apa yang penting, menghormati orang yang lebih berusia.

“Respons drama ini masih awal selepas baru dua episod disiarkan. Namun, respons yang saya terima, ada mengatakan plot drama ini perlahan. Ia suatu yang biasa untuk sesebuah drama berkembang dari permulaan.

“Saya berharap penonton dapat beri masa untuk menghayati plot drama ini dan jangan mengharap watak saya sama seperti Nora Elena. Berbanding Nora Elena sebanyak 70 peratus tertumpu pada watak Seth dan Nora sebaliknya drama ini mempunyai banyak sub plot.

“Begitu juga, watak Irfan tidak ‘seromantik’ Seth. Namun, cabaran melakonkan watak ini tidaklah membuatkan saya pecah kepala.

Seperti Seth, saya terkejut bila lakonan biasa yang saya tunjukkan membuatkan penonton suka tengok.

“Bagi saya, antara watak romantik ataupun antagonis, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan warna sendiri. Jika ditawarkan watak antagonis, saya lebih memilih filem kerana ia memberi peluang lebih besar menunjukkan ekspresi pada lakonan.

“Menerusi drama pula, ia terbatas atas faktor skop penonton. Atas faktor itu, filem dan drama mempunyai perbezaan apabila penonton membayar duit untuk menyaksikan lakonan yang lebih memberi kepuasan,” katanya yang pernah menonjolkan sisi jahat menerusi filem Evolusi KL Drift, tiga tahun lalu.

Mengenai kepuasan sendiri terhadap lakonan, Aaron lebih menilai aspek plot memberi kekuatan pada setiap watak yang dibawanya. Dia beranggapan melakonkan watak antagonis tidak seharusnya menunjukkan keganasan melampau.

Selepas komitmen Stanza Cinta selesai, Aaron menyatakan dia mahu berehat seketika daripada bidang lakonan sehingga penghujung bulan ini. Menariknya, dia bersama isteri, Diyana Halik akan berangkat ke Tanah Suci mengerjakan umrah pada 13 Julai ini.

“Ini adalah perancangan saya bersama isteri sejak awal tahun ini. Sebolehnya, saya mahu ke sana dengan hati terbuka dan tidak mahu memikirkan perkara bukan-bukan atau menakutkan.

“Buat masa ini, saya bebas daripada sebarang komitmen kerja. Saya tidak mahu terlalu awal bersetuju dengan projek lakon seterusnya kerana bimbang fokus saya di sana terganggu.

“Sejak awal tahun lalu selepas tidak lagi menjadi Wajah Eksklusif Astro, tawaran yang saya terima sama saja. Cuma, saya lebih banyak mengawal jadual dan membuat keputusan sendiri.

“Walaupun banyak tawaran yang datang, saya sendiri senang memberi fokus satu kerja pada satu masa,” katanya yang turut muncul dalam drama baru, Tahajud Cinta di TV3.

Untuk projek lakon seterusnya, Aaron bersama Erra Fazira akan terbabit dengan pementasan teater Badai Semalam yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 hingga 20 November nanti.

Kata Aaron, dia juga berdebar menantikan teater ini yang memberi pengalaman baru pada dirinya. Malah, dia bimbang kerana komitmen teater ini berselisih dengan jadual penggambaran sekuel KL Gangster 2 yang dijangka memulakan penggambaran pada masa itu.


PROFIL

NAMA: Aaron Mustapha Aziz
NAMA KOMERSIAL: Aaron Aziz
TARIKH LAHIR: 23 Februari 1976
USIA: 35 tahun
ASAL: Singapura
STATUS: Berkahwin
KERJAYA: Pelakon dan model iklan
FILEM: Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, Evolusi KL Drift 2, 2 Alam, KL Gangster, Datin Ghairah, Shh... Dia Datang, Ombak Rindu dan Norat.
DRAMA: Haryati 2, Sumaiyyah, Garisan Takdir, Penghujung Rindu, Janji Diana, Cinta Gila, Rahsia Hati, Tuah Kembali, Cinta Lelong, Kasih Tercipta, Nora Elena, Tahajud Cinta dan Stanza Cinta.

sumber
kelab-jutawan


Kongsi

0 komen:

 
Free Auto Backlinks
Entertainment Blogs - BlogCatalog Blog Directory
On our way to 1,000,000 rss feeds - millionrss.com
Blogged.my

speed